Bacathon 2009, SK. Tungou, Ranau.

Jawatankuasa Kokurikulum Sekolah dengan kerjasama Panitia Bahasa Melayu telah menganjurkan Bacathon peringkat sekolah pada 15 April 2009. Menurut Encik Ag. Jaludin Sabudin selaku pengerusi penganjur yang juga merangkap Penolong Kanan Kokurikulum SK. Tungou, Ranau, tujuan mengadakan aktiviti ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar tahap 2, memperlihat dan mengaplikasikan kemahiran membaca yang telah dikuasai. Selain dari itu untuk mewujudkan semangat daya saing dikalangan murid.

 

Seramai 35 orang murid tahap 2 terlibat dalam aktiviti bacathon. Semua murid membaca petikan yang disediakan dan membaca secara relay. Giliran dipilih secara rawak.

 

Encik Jamri Suhamin Guru Besar SK. Tungou yang diminta memberikan komen selepas acara selesai menyatakan rasa puas hati dan gembira melihat pencapaian pelajar dalam kemahiran membaca. Beliau melahirkan rasa gembira kerana melalui bacathon kemahiran membaca dapat ditonjolkan. Yang lebih menggembirakan beliau ialah kesemua murid tahap dua telah menguasai kemahiran membaca dengan baik kecuali 2 orang yang masih mengeja untuk menyebut suku kata. Ini selaras dengan matlamat sekolah sifar buta huruf.

 

Guru Besar juga mengharapkan supaya aktiviti seumpama ini diadakan untuk mata pelajaran yang lain seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

 

 

SAMBUTAN HARI IBU 2009

WARGA SK TUNGOU MENYAMBUT HARI IBU 2009

 

Guru-guru dan staf perempuan SK. Tungou, Ranau telah mengadakan sambutan Hari Ibu 2009 pada 13 Mei 2009. Seramai 12 orang guru perempuan dan staf perempuan sekolah telah sepakat menganjur dan  mengelolakan sambutan Hari Ibu.

 

Encik Jamri Suhamin, Guru Besar SK. Tungou dalam ucapan alu-aluannya merakamkan tahniah kepada guru dan staf perempuan yang menganjurkan Hari Ibu 2009. Beliau menjelaskan bahawa Hari Ibu wajar disambut untuk mengenangkan jasa ibu. Pengorbanan ibu terlalu tinggi dan tidak boleh dibalas dengan kata-kata, harta mahupun wang ringgit. Beliau juga mengambil kesempatan mengingatkan kepada semua guru dan staf supaya memberikan sepenuh kasih sayang kepada ibu selagi masih hidup. Sementara ibu yang telah meninggal dunia diiring dengan doa supaya mereka ditempatkan bersama-sama dengan golongan yang soleha.

 

Majlis sambutan Hari Ibu didahului ucapan alu-aluan Guru Besar diikuti dengan  bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Jaudin Kotingi dan  diikuti dengan jamuan makan tengahari.

 

 

 

 

Kursus Kajian Tindakan Panita Mata Pelajaran SK. Tungou

 

Kursus dan Bengkel Pendedahan Kajian Tindakan untuk semua  Panita Mata Pelajaran  seramai 12 orang telah diadakan pada 25 Mei hingga 29 Mei 2008. Peserta kursus didedahkan cara menyediakan kertas cadangan (proposal) dan Pelaporan (Report) Kajian Tindakan.

Penceramah kursus yang memberikan ceramah ialah Encik Losinin Johalin, Pegawai Teknologi Pendidikan, Pusat Kegiatan Guru Daerah Ranau, Encik Rajbin Rashman Pen. Pegawai Teknologi Pendidikan dan Encik Saimon Jaimin Penolong Kanan 1, SK. Kinapulidan, Ranau.

Kursus ini telah meningkatkan kemahiran peserta melaksanakan kajian tindakan di sekolah.

Majlis Berbuka Puasa Pelajar Asrama Desa SK. Tungou

 

 

Jawatankuasa Asrama Desa dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Pelajar Asrama Desa SK. Tungou, Ranau pada 25 September 2008.

 

Matlamat menganjurkan majlis ini adalah memberi peluang pelajar asrama bersama ibubapa dan guru. Sementara objektifnya adalah memberi kesedaran kepada pelajar bahawa kebajikan mereka sentiasa dijaga walaupun tinggal dalam asrama.

 

Ibubapa pelajar Islam telah hadir dalam majlis tersebut. Turut hadir ialah guru-guru, KTBM dan Yang Dipertua PIBG.

 

Selepas berbuka puasa, semua yang hadir mendirikan solat Maghrib diikuti dengan bacaan tahlil. Sembahyang sunat Tarawih telah dilaksanakan selepas sembahyang sunat Isyak. Solat Maghrib, Isyak dan Sunat Tarawih diimamkan oleh Ustaz Jaudin Kotinggi Guru Pendidikan Islam SK. Tungou, Ranau.

 

Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Tungou terletak di Kampung Tungou dalam Daerah Ranau. Lokasi sekolah di sempadan Daerah Tambunan dan tepi jalan Ranau Tambunan. Jarak sekolah ini lebih kurang 32 kilometer dari Pejabat Pelajaran Ranau. Pengasas sekolah ini ialah Encik Impin Bin Dungaron, Ketua Kampung Kg. Tungou ketika itu.

Kelulusan pembinaan sekolah ialah pada tahun 1971. Bangunan sementara sekolah didirikan di tepijalan raya Ranau Tambunan. Hari pertama persekolahan ialah pada 2 Mei 1972 dengan bilangan pelajar seramai 25 orang sahaja. Bilangan bilik darjah hanya 2 buah.

Pada tahun 1985, Jabatan Pelajaran Sabah telah memiliki tapak sekolah untuk SK. Tungou yang lebih luas. Bangunan sekolah sekarang dibina melalui projek kilat. Bangunan hanya 3 buah bilik darjah, sebuah bilik guru, bilik Guru Besar dan sebuah rumah kembar. Bangunan SK. Tungou, Ranau dirasmikan oleh Datuk Dr.Haji Isa Ramli, Pengarah Pelajaran Sabah ketika itu.

Pada tahun 1985 murid yang berdaftar telah meningkat seramai 59 orang dan pada tahun 1987 seramai 74 orang. Menyedari kepentingan pendidikan luar bandar dan lokasi sekolah dengan perkampungan, pembinaan asrama desa diluluskan. Bangunan tambahan 3 buah bilik darjah, sebuah asrama lelaki dan perempuan dan sebuah dewan makan telah di bina pada tahun 1987.

Sekolah Kebangsaan Tungou, Ranau dikategorikan sekolah Gred A kerana mempunyai Aseama Desa. Semua pelajar tinggal dalam asrama.